salam,,
Sedang asyik ambo scroll laman facebook, tetiba terkejut melihat laporan yang mengatakan tokoh ilmuan Islam negara, Ustaz Dr Uthman El Muhammady telah kembali ke rahmatullah pada jam 7.00 petang semalam (25 Mac 2013) di rumahnya di ISTAC, IIUM KL Campus, Taman Duta, Kuala Lumpur.
Ustaz merupakan seorang tokoh yang amat disegani di Malaysia dan ilmuan yang cukup tinggi ilmunya. Sering muncul di kaca tv untuk rancangan bual bicara agama seperi Al-Kuliyyah, Forum Perdana Hal Ehwal Islam dan lain-lain lagi..
Sedikit info tentang Allayarham Ustaz Dr Uthman El Muhammady:
Dilahirkan di Kampong Telok, Panji, Kota Bharu, Kelantan Darulnaim pada 1 Februari 1943. Merupakan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1426 H pada 10 Februari 2005.
Beliau kemudian mengambil Higher School Certificate (HSC) di Kolej Sultan Abdul Hamid , Alor Star Kedah. Sebuah kolej yang melahirkan dua Perdana Menteri ulung negara, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Dr Mahathir Mohammad.
Pada tahun 1963, beliau memasuki Universiti Malaya Kuala Lumpur dan mendapat B.A. dalam Pengajian Islam tahun 1966. Kemudian beliau menjadi tutor dan mendapat M.A. tahun 1969.
Beliau terus mengajar di Jabatan Pengajian Islam UM hingga ke tahun 1973 apabila beliau kembali ke Kelantan untuk menumpu masa sebagai seorang penulis dan pendakwah bebas hingga sekarang.
Pada tahun 1995, beliau dikurniakan Ijazah Doktor Persuratan Kehormat (D. Litt.) oleh Universiti Sains Malaysia (USM) kerana usaha-usaha dan penulisannya dalam pemikiran Islam dan dakwah.
Minat kajian beliau adalah di dalam:
* Bidang ilmu-ilmu Islam dan falsafah Barat
* Pemikiran semasa dan pandangan Islam tentangnya
* Akidah Sunni, faham ilmunya dan pandangan hidupnya
Beliau banyak menumpukan masanya di dalam masyarakat setempat dengan melaksanakan pengajian kitab di masjid-masjid sekitar Pasir Mas dan Kota Bharu, Kelantan selain dari menunaikan jemputan ceramah di merata tempat.
Di antara penulisannya yang telah dihasilkan beliau ialah:
- “Al-Quranul-Karim, terjemahan dan Huraian Maksud”-terjemahan dan huraian tambahan atas tafsir Inggeris oleh Abdullah Yusuf Ali, keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) (5 jilid).
- “Fathul Mu’in, terjemahan dan Huraian Maksud”, terbitan Majlis Ugama Islam Negeri Kelantan, Kota Bharu, Kelantan.
- “Peradaban dalam Islam” terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, edisi 1976 dan beberapa cetak-ulang.
- “Memahami Islam" terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan, 1977.
- “Islam, Peribadi, Tarbiah dan Institusi” terbitan Majlis Ugama Islam Kelantan, 1987.
- “Islam dan Kebudayaan” risalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berdasarkan kepada wacana tentang kebudayaan yang disampaikan pada tahun 1989 di Kuala Lumpur.
Selain itu, tanggal 25 Mac 2013 juga dua lagi tokoh ilmuan agama yang pergi menemui Pencipta-Nya. Tokoh yang dimaksudkan ialah:
- Tuan Guru Haji Ali Kedah : Mengajar Tasawuf (kitab Hikam ) di Masjid-masjid di Alor Setar. Akhlaknya indah. Murabbi selalu cerita mengenainya.
- Tuan guru Hj Muhammad Abdullah : Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Kedah.
Satu kebetulan yang amat menyedihkan kerana kita kehilangan tokoh agama yang cukup berwibawa. Tetapi Allah lebih menyayangi mereka dan sesungguhnya perancangan Allah itu lebih baik.
Sebelum itu, beberapa hari yang lalu, seorang ulama di Syria juga telah kembali ke rahmatullah akibat terkena serangan bom dalam sebuah masjid di Syria yang didakwa dilakukan oleh rejim pemerintah disana. Beliau ialah As Syahid Syeikh Said Ramadhan Al-Buti yang terbunuh bersama 42 lagi jemaah dalam Masjid Iman.
Sedikit renungan untuk kita semua:
#KataAmbo:: Dari Dia kita datang dan kepada Dia kita kembali. Al-Fatihah.Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak mencabut (menghilangkan) ilmu daripada manusia. Tetapi Allah mencabut ilmu dengan roh (mematikan) para ulama. Sehinggalah tiada lagi orang yang alim (ulama) yang tinggal. Ketika itu manusia akan melantik ketua mereka yang jahil. Apabila orang menanyakan sesuatu, mereka mengeluarkan fatwa tanpa asas ilmu. Maka, sesatlah mereka dan menyesatkan orang lain."( Riwayat al-Bukhari )
Al-fatihah..
ReplyDeleteAl-Fatihah...
ReplyDeleteSerentak sekali 3 ulama yang pergi meninggalkan kita dalam hari yang sama dan tarikh yang sama... Semoga roh mereka dicucuri rahmat...