Nov 4, 2014

7 JENIS PERSAHABATAN HANYA 1 SAMPAI AKHIRAT


Selamat pagi dunia. Selamat pagi makhluk Allah di segenap penjuru alam. Tips untuk ceria sepanjang hari adalah dengan mulakan hari dengan positif. Kawan, teman, member, geng. Macam-macam istilah orang bagi untuk sebuah persahabatan. Tahukah kita yang kawan atau teman boleh dibahagikan kepada 7 jenis. Jadi ambo kongsikan 7 jenis persahabatan yang mana dari 7 hanya 1 yang sampai ke akhirat. 

Persahabatan yang macam mana tu? Dan jatuh dalam jenis yang ke berapakah kita? Ambo kongsikan info berikut yang dipetik dari IG abby_abadi112.

1. TA'ARUFFAN Persahabatan yang terjalin secara kebetulan, seperti pernah bertemu di stesyen kereta api, hotel, hospital, pejabat pos, ATM, dan lainnya.

2. TAARIIKHAN Persahabatan yang terjalin kerana faktor sejarah, misalnya teman sekampung, satu kelas, satu sekolah, satu asrama, dan sebagainya. 

3. AHAMMIYYATAN Persahabatan yang terjalin kerana faktor kepentingan tertentu seperti rakan bisnes, politik dan sebagainya. 

4. FAARIHAN Persahabatan yang terjalin kerana faktor hobi, seperti teman futsal, badminton, memancing, dan sebagainya. 

5. AMALAN Persahabatan yang terjalin kerana kerjaya, misalnya sama-sama guru, doktor, arkitek dan sebagainya. 

6. ADUWWAN Sahabat tetapi musuh, depan kita bukan main dia baik lagi tapi bila belakang kita ... Allah! Pijak semutpun tak mati! Talam dua muka. Seperti firman Allah SWT: "Kalau kamu mendapat kebaikan atau kesenangan, ia menyakitkan hati mereka, bila kamu ditimpa musibah, mereka senang hati ..." (Surah Ali Imran : 120) Rasulullah SAW mengajarkan doa: "Allahumma Ya Allah ... selamatkanlah aku dari sahabat yang bila melihat kebaikanku dia bersembunyi tetapi bila dia melihat keburukanku dia sebarkan." 

7. HUBBAN LIMAANAN Sebuah ikatan persahabatan yang lahir batin, tulus saling cinta dan sayang kerana ALLAH Azza wa jalla, saling menolong, menasihati, menutupi aib sahabatnya, memberi hadiah, bahkan diam-diam di penghujung malam, ia doakan sahabatnya. Boleh jadi ia tidak bertemu tetapi ia cinta sahabatnya kerana Allah Ta'ala. 

Dari 7 macam persahabatan di atas, 1 hingga 6 akan LENYAP di Akhirat. Yang TINGGAL hanya 1 ikatan persahabatan iaitu persahabatan yang ke-7. Persahabatan yang terjalin kerana Allah Taala seperti firman Allah SWT: "Pada hari itu (Kiamat) sahabat-sahabat karib akan menjadi musuh bagi yang lain kecuali persahabatan kerana ketaqwaan" (Surah Az-Zukhruf : 67) Semoga persahabatan kita bertambah erat dan sentiasa diberkati kerana Allah SWT. Aamiin...!!! 


#KataAmbo|Ramai kawan bila masa senang.
 

Photobucket

Oct 29, 2014

Benarkah Aku Sudah Taubat?



Masih melakukan dosa, sedangkan sudah berkali-kali melakukan taubat?

Hakikat orang yang melakukan maksiat ini adalah penat. Mereka kepenatan kerana dibebani dengan bebanan dosa yang banyak. Jiwanya sentiasa resah dan gelisah dek perbuatan dosanya itu. Akhirnya, dia kembali bertaubat dan beristighfar kerana menginginkan kerehatan pada jiwanya. Bukan kerana takutkan azabNya. '

Setelah kembali tenang jiwanya, dia kembali melakukan maksiat sehingga berasa penat dan resah kembali. Lalu, dia kembali kepada taubat dan istighfar bagi menghilangkan kepenatan dan keresahannya itu. Begitulah keadaannya orang yang menjadikan taubat itu sekadar tempat untuk menenangkan jiwanya semata tanpa rasa takut akan azab Allah yang sangat pedih dan berharap supaya taubatnya diterima.

Kesannya, dia akan terus melakukan maksiat sekalipun sudah berkali-kali melakukan taubat. Na'uzubillahiminzalik...

Terasa apa yang diperkatakan di atas datang menerpa ke atas batang hidung sendiri dan menusuk ke jantung hati. Memang kita begitu kan? Jangan tipu diri sendiri untuk jadi lebih baik. Terbuka dan terima saja teguran dan nasihat. Boleh jadi itu teguran secara tidak langsung dari Tuhan Ya Rahman Ya Rahim. 

#KataAmbo | Dipetik dari IG FedtriYahya.
Photobucket

Oct 23, 2014

Allah Telah Aturkan Hidup Aku


Resah dan gelisah. Gundah dan gelana. Silih berganti dari hari ke hari. Apakah belum mencukupi nikmat Allah untuk ambo kecapi? Atau ambo sahaja masih buta hati, tidak melihat begitu banyaknya nikmat yang Tuhan anugerahi.

Diuji dengan cuma sekelumit resah dan permasalahan. Berdepan ragam duniawi dan perangai manusia yang kadang begitu kadang begini; macam-macam peel. Itupun sudah goyah dan hilang akal dari bersyukur akan nikmat Allah yang terus menerus tercurah.

Lupa seketika, bahawasanya garis masa hidup ini sememangnya sudah ditentukan Allah. Dan semuanya dalam genggaman Dia Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang; Ya Rahman Ya Rahim. Diberi kita nikmat untuk diuji sejauh mana disyukuri, dan diberi musibah untuk diuji sejauh mana kita tabah.


#KataAmbo | Hidup yang fleksible.
Photobucket

Oct 22, 2014

Ustaz Iqbal Zain Jawab Tohmahan Beri Sokongan Kempen I Want To Touch A Dog

Macam-macam hal dan macam-macam perangai rakyat Malaysia sejak kebelakangan ni. Perkara pelik di Malaysia boleh dikatakan silih berganti. Terbaru ada program penuh kontroversi telah dianjurkan oleh pihak tak bertanggungjawab lagi jahil. Program " I Want To Touch A Dog" dianjurkan asalnya dengan niat untuk memupuk rasa kasih sayang masyarakat terhadap anjing.
 
Maka ramailah yang sertai program ini termasuk orang Islam yang kemaruk nak pegang anjing. Di uploadnya gambar-gambar sedang mengusap anjing. Rata-rata anak muda Melayu beragama Islam. 

Kempen itu sudah satu hal. Yang turut jadi isu, apabila terdapat seorang ustaz telah dituduh oleh pengguna media sosial sebagai turut sama bersekongkol dengan program ini. Walhal kehadiran ustaz ke program ini, adalah semata-mata memenuhi undangan untuk memberi ceramah atau tazkirah mengenai sifat kasih sayang terhadapt haiwan dalam Islam. 

Ustaz ini sebenarnya sudah jelaskan dalam ceramah beliau, tentang keadaan bagaimana seharusnya kita sebagai orang Islam dibolehkan memegang anjing. Antaranya untuk tujuan merawat anjing yang tercedera sebagai contoh dan sama sekali dilarang dan haram untuk menyentuhnya untuk suka-suka tanpa tujuan mustahak.

Tapi itulah bodohnya mereka yang dengan selamba pergi peluk, cium dan bergambar dengan anjing. Pakai tudung bukan main lagi. Ishh!! Tak faham konsep kasih sayang terhadap binatang dalam Islam yang sebenarnya.

Berikut penjelasan penuh Ustaz Iqbal bagi menangkis tohmahan tak berasas yang dilemparkan terhadap beliau:
Assalamualaikum,

Alhamdulillah dan segala syukur untuk Allah SWT. Cuaca sosial media pada ketika ini agak panas berhubung program "I Want To Touch a Dog", yang saya terlibat secara langsung di dalamnya untuk memberi perkongsian ilmu, setelah mendapat tahu program ini telah mendapat izin dari pihak MAIS.
Pada awalnya, penganjur program, Syed Azmi, menjemput saya untuk mengisi slot ilmu. Saya merasakan ini adalah peluang yang baik untuk menyampaikan mesej Islam kepada Muslim dan non-Muslim, dan alhamdulillah sehingga kini mereka masih menghubungi saya untuk bertanyakan perihal Islam dengan lebih lanjut.
Saya difahamkan bahawa tempat perkongsian ilmu diasingkan dari tempat anjing-anjing berkumpul.
Saya akui yang saya terlepas pandang bahawa program ini disalah tafsir malah diambil kesempatan oleh setengah pihak untuk menggalakkan masyarakat Melayu awam bermesra-mesra dengan anjing tanpa sebab. Saya tidak pernah terfikir perkara ini boleh berlaku seolah-olah saya yang menggalakkannya.
Saya memenuhi jemputan ini, dan menjelaskan kepada yang hadir mengenai hukum-hakam yang jelas menurut mazhab Syafi'e, seperti yang terdapat dalam fatwa JAKIM. Dibawah ini saya sertakan lampiran yang difotokopi sebanyak 500 helai dan diedarkan kepada mereka yang hadir.
Saya ingin JELASKAN disini bahawa saya TIDAK BERSETUJU dengan aksi peluk,cium anjing yang dilakukan pada hari tersebut oleh peserta-peserta program.
Saya juga jelas menerangkan,tidak dibenarkan menyentuh anjing tanpa sebab yang perlu.
Saya terkilan kerana pihak media hanya menyebarkan sebahagian ucapan saya yang seolah-olah saya menyokong perbuatan tersebut, manakala bahagian hukum hakam tidak disebutkan oleh pihak media .
Saya memohon maaf secara terbuka di atas segala kecelaruan dan kepincangan yang berlaku. Iktibar dan pelajaran yang berharga saya perolehi dari apa yang telah berlaku. Saya mengharapkan program ini pada masa hadapan dapat dilakukan dalam suasana
yang lebih menghormati sensitiviti masyarakat setempat.
Terima kasih di atas segala kritikan dan teguran yang membina. Saya yakin segalanya ada hikmah dari Allah. Semoga dengan pengalaman ini mematangkan lagi diri saya dalam liku-liku perjuangan dakwah.


Jadi mari sama-sama kita lihat sedutan rakaman video ceramah ustaz Iqbal Zain Al Jauhari:   
video


#KataAmbo | Ilmu untuk semua. Tentu ramai yang baru tahu.
Photobucket