Mar 9, 2013

Isu Lahad Datu - Cara Menanganinya Dari Sudut Islam

salam,,

Rasanya isu pencerobohan keatas Lahad Datu di Sabah sedikit reda. Laporan kematian terutamanya di pihak pasukan keselamatan negara baik menerusi internet ataupun media arus perdana tiada lagi kedengaran. Alhamdulillah.

Mungkin pelbagai persoalan masih bersarang dalam benak pemikiran kita rakyat Malaysia terutamanya, tentang apakah penyebab terjadinya kes pencerobohan kumpulan yang mendakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu. Selain itu, bagaimana mudahnya penceroboh menyusup masuk ke pantai Sabah menerusi jalan air turut dipersoalkan. Apakah pasukan keselamatan yang menjaga kawasan perairan negara kita tidak cukup mantap sehingga berlakunya kes tersebut ? Wallahualam.

Satu lagi persoalan yang menyusul dari kes itu, kenapa pasukan polis yang dikerah dan tidak pasukan tentera? Rasanya sudah ada beberapa jawapan ( yang mungkin bersifat andaian) dari sesetengah pihak yang sudah pun tersebar di laman sosial facebook terutamanya.

Lebih menyedihkan isu ini yang melibatkan keselamatan negara cuba dipolitikkan oleh politikus yang rakus meraih populariti lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya umum ke-13 (PRU13).

Dalam isu pencerobohan Lahad Datu ini, ambo ada terbaca satu artikel yang menerangkan tentang bagaimana isu tersebut sepatutnya ditangani mengikut pendekatan yang lebih Islamik berdasarkan nas Al-Quran dan Hadis.

Gambar : szlihin.com
Berikut petikan dari artikel tersebut:

Setiap warganegara wajib bertanggungjawab kepada Negara Islam dan haram untuk mereka memberontak terhadap penguasa yang dilantik secara sah menurut hukum syarak. Sekiranya mereka memberontak dengan kekuatan bersenjata, maka mereka akan dianggap sebagai bughat dan akan diambil tindakan sewajarnya menurut hukum syarak.

Peperangan ke atas mereka adalah peperangan yang bersifat mendidik, yakni sekadar berusaha untuk melumpuhkan kekuatan mereka dan bukannya untuk melakukan kemusnahan dan pembunuhan sebagaimana peperangan dengan kafir harbi (sila lihat perbincangan tentang bughat dalam SN268). Manakala jika wujud penceroboh dari luar yang ingin menyerang atau berperang dengan Negara Islam, maka hal ini perlu diperhalusi terlebih dahulu – jika penceroboh adalah dari golongan kafir, maka hukum ke atas mereka adalah diperangi (jihad fi sabilillah). Sekiranya ada korban di pihak kita, maka ia adalah syahid.

Namun jika penceroboh adalah dari golongan Muslim, ini bermakna berlakunya perang saudara atau perang fitnah (berbunuhan sesama Muslim) yang diharamkan oleh Islam. Setiap Muslim wajib diingatkan agar menjauhi atau tidak terlibat di dalam peperangan ini. Kepada golongan yang berperang, mereka wajib didamaikan. Terlalu banyak nas yang melarang umat Islam terlibat di dalam perang sesama sendiri. Firman Allah SWT,

“Dan jika ada dua golongan dari orang-orang Mukmin berperang, maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain, maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah) maka damaikanlah antara keduanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil”
[TMQ al-Hujurat (49):9].

Berhubung dengan perang fitnah,Nabi SAW bersabda, yang dikeluarkan oleh al-Bazzar, 

“Jika kalian saling berperang demi urusan dunia, maka orang yang membunuh dan yang terbunuh sama-sama berada di neraka”.

Manakala jika si penceroboh hanya ingin melakukan kekacauan dalam negara, melakukan pembunuhan, rompakan atau mewujudkan ketakutan dan ketidakstabilan, maka dalam hal ini, mereka ini (tidak kira Muslim mahu pun non-Muslim) sebenarnya telah melakukan tindakan hirabah (keganasan/perlanunan) atau dikenali juga sebagai qutha’ al-thariq.

Muharibin adalah kelompok pengganas, baik Muslim mahupun non-Muslim, yang memisahkan diri dengan menggunakan kekuatan dan senjata yang mereka miliki dengan tujuan merampas, menceroboh, membunuh dan menebarkan ketakutan di tengah-tengah masyarakat.

Umumnya mereka berada di luar kota, di kampung-kampung, gunung-gunung, gurun-gurun dan lain-lain, termasuk di dalam kereta api, kapal terbang, kereta atau di mana sahaja di luar kota, yang jauh atau sulit untuk mendapatkan pertolongan segera [NidzamulUqubat, Abdul Rahman al-Maliki].

Inilah realiti yang dapat kita saksikan di Lahad Datu sekarang di mana apa yang sebenarnya dilakukan oleh ‘tentera’ kesultanan Sulu adalah aktiviti hirabah. Jika benar mereka berniat untuk merampas dan memisahkan Sabah, dari segi hukum, tindakan ini adalah haram dan perlu dihalang. Mereka perlu disedarkan bahawa Sabah dan Sulu dan lain-lain negeri umat Islam, secara syar’ienya wajib berada di bawah satu kesatuan.

Sepatutnya kesemua wilayah umat Islam disatukan, bukan dipisahkan, kerana ia adalah milik kita bersama. Oleh sebab mereka telah melakukan tindakan hirabah, maka apa yang wajib dilakukan ke atas mereka adalah menyeru mereka untuk meletakkan senjata dan menyerah diri dengan cara memberi nasihat dan peringatan. Jika mereka kembali (bertaubat), maka mereka dibebaskan; jika tidak, maka mereka hendaklah diperangi.

Negara wajib mengirim pasukan tempur untuk memerangi mereka serta menghancurkan ancaman mereka terhadap masyarakat [al-Jihad wa al-Qital, Dr. Muhammad Khair Haekal, Jilid I]. Setelah mereka berjaya ditangkap, maka hukum Islam ke atas mereka adalah sebagaimana firman Allah SWT, 

“Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bersilang atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya)” 
[TMQ al-Ma’idah (5):33]. 

Imam Syafie meriwayatkan dalam Musnadnya berkenaan qutha’al-thariq, dari Ibnu Abbas ra, 

“Jika mereka membunuh dan merampas harta benda, mereka akan dibunuh dan disalib. Jika mereka membunuh tetapi tidak merampas harta benda, mereka dibunuh sahaja namun tidak disalib. Jika mereka merampas harta benda tetapi tidak membunuh, maka tangan dan kaki mereka dipotong secara bersilang. Dan jika mereka melakukan terror di jalanan dan tidak merampas harta benda, usirlah mereka.”

Mengikut Dr. Muhammad Khair Haekal lagi, jika Muharibin adalah Muslim, maka status memerangi mereka tidak layak dikatakan sebagai jihad, kerana maksud jihad adalah memerangi orang-orang kafir demi meninggikan kalimah Allah.

Artikel penuh boleh diikuti di [sini].

Apapun isu ceroboh Lahad Datu pasti akan terus dicanang, tambahan pula PRU 13 makin hampir. Jadi semestinya ia satu sumber yang berguna untuk dijadikan bahan kempen pilihanraya itu nanti. Cuma pihak mana yang akan berkata benar atas isu ini hanya mereka yang terlibat dan Allah yang lebih tahu.

Gambar: abnailharaki.blogspot.com
#KataAmbo::Pilihanraya Umum bakal menelanjangkan sikap 'sopan' orang Melayu kita.

Photobucket

2 comments:

Penulis tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang ditinggalkan pembaca. Semua komen adalah dibawah tanggungjawab anda. Gunalah bahasa yang sopan dan berhemah dalam meninggalkan komen anda. Iklan produk dan perkhidmatan yang tidak dibenarkan adalah dilarang sama sekali. © AKHIL

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...