Jan 25, 2012

Antivirus untuk Hati

Kalau sebut mengenai virus pasti akan bermain-main dalam benak pemikiran kita virus yang sering menyerang sistem komputer. Setiap kali komputer kita diserang atau dimasuki virus maka kelam kabutlah kita mencari produk antivirus, tak kira yang free ataupun berbayar. Samalah macam aku. Laptop aku bertalu-talu dimasuki virus apabila dicucuk pendrive. Virus yang selalunya aku dapat dari pc dalam lab dekat fakulti.
Untuk makluman, pc dalam lab tersebut sudah boleh jadi ladang ternakan virus berskala besar.

Sebelum aku terus melalut dengan virus komputer mari kembali ke tajuk asal. Disini bukan pasal virus komputer yang aku ingin perkatakan tetapi virus hati. Hah, baru kita tahukan hati pun boleh diserang virus.
Pernahkah anda rasa gundah gulana?. Hati rasa tidak tenteram. Serba -serbi tak kena. Paru-paru pun rasa semput tahan rasa gundah gulana. Mungkin terlalu bermetafora ayat tersebut kan?? :).
Tapi jujurlah dengan diri sendiri kita pernah rasai sedemikian. Apakah puncanya??
Nak tahu puncanya, marilah kita tanya pada hati. Mungkin hati kita dijangkiti virus. Bukan virus malware ataupun trojen tetapi virus dosa.
Tahukah anda ada 4 peringkat atau tahap virus menyerang hati::


   1. Rasa Bersalah Dengan Dosa

Fitrah semulajadi manusia adalah baik (sewaktu di alam roh dan mula mula dilahirkan ke muka bumi ini). Selalukan orang cakap bayi itu umpama kain yang putih?
Jadi apabila fitrah ini dikotori, manusia seolah olah menentang hati kecilnya sendiri.
Atas dasar pakar psikologi mengaku bahawa setiap kali melakukan kesalahan atau dosa, manusia akan diserang  rasa bersalah – “guilty conscience” .  Kesalnya bukan kepalang.  Sesalnya sungguh merimaskan.  Rasa bersalah itu memang menyeksakan, sebab apabila berdosa manusia seolah olah berperang dengan dirinya sendiri.


2. Rasa Biasa Dengan Dosa

Namun demikian, jika dosa yang sama itu dibuat kali kedua, ketiga dan seterusnya, rasa bersalah itu akan hilang sedikit demi sedikit. Lalu akhirnya, hati itu telah terbiasa dengan dosa.  Rasa bersalah tidak akan datang lagi.  Ia sirna dimamah oleh kebiasaan membuat dosa yang berulang-ulang.  Jika dulu ada air mata yang mengalir kerana kekesalan dan penyesalan tapi ditahap kedua ini, tiada air mata lagi.  Alah bisa tegal biasa.  Hati telah tega dan rela untuk berdosa dan terus berdosa. Mungkin tompokan hitam makin terselah.
sabda Rasullullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang berasa senang oleh amal kebaikannya dan merasa sedih atau menyesal atas perbuatan dosanya, maka dia seorang Mukmin (beriman)” (Riwayat al-Tabarani).



3. Rasa Seronok Dengan Dosa

Dosa itu “racun” yang disalut kemanisan dan keindahan.  Dosa yang dilazimkan tidak akan terhenti kesannya pada hati.  Dari tahap terbiasa dengan dosa, “penyakit” hati akan meningkat setahap lagi, yakni pada tahap ketiga: Seronok dan rasa indah dengan dosa. Ini yang kita tak mahu. Pada tahap ini, diri manusia itu sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukan dosa.  Rasa ketagih dengan maksiat, rasa gian dengan kemungkaran, menghantui hati.  Racun dosa akan bertukar menjadi nikmat. Tiada lagi rasa bersalah.  Bagi dosa yang terbiasa ini menjelma menjadi fatamorgana nikmat yang berkubu kukuh didalam hati.


4. Jadi Pembela Kepada Dosa

Nafsu tidak pernah puas.  Kehendaknya tiada batas.  Syaitan pula ialah musuh yang tidak pernah tidur.  Usahanya tidak pernah kendur.  Lalu apabila syaitan meluncur laju di “lebuh raya” nafsu dengan “kenderaan” sifat sifat mazmumah, hati yang seronok dengan dosa itu dirasuk untuk “maju” setapak lagi.  Itulah tahap keempat yang lebih dahsyat dan tenat.  Keseronokan dosa itu menyebabkan pelakunya menjadi pembela dan pejuangnya.
Pada tahap yang kronik ini, dosa akan dipromosi dan dihiasi oleh si “toxic people” ini sebagai sesuatu yang indah, seronok, dan menguntungkan.  Jangan ada pembela agama yang bercakap tentang akhirat dan kiamat, pejuang dosa itu pun bangun menentangnya dengan seluruh upaya dan kudrat.
sumber dari:: Soal Hati | irhafiz.


Allah swt berfirman yang bermaksud:
“Dan sesiapa di dunia ini buta hatinya maka diakhirat nanti juga akan buta, dan lebih sesat lagi jalannya” (Surah al-Isra’ 17:72)
Oleh itu,dimanakah tahap serangan virus dosa itu di hati kita? Aku menukilkan entry ini bukan bermakna aku cukup bagus, hati suci, innocent orang cakap. Tetapi sebagai cermin kepada empunya diri disamping untuk peringatan bersama-sama mereka yang ingin beringat bersama. Memetik kata-kata dari Ustaz Pahrol Juoi dalam siri ceramah dalam segmen mukmin profesional di radio ikim, katanya, untuk mengubah sesuatu masyarakat kena ubah hati dulu. Kata ustaz lagi, Rasulullah s.a.w pun mengubah umat jahiliyyah dengan mendidik hati ,iaitu mengubah dari dalam ke luar.

notaburuk::Uihh tenggelam timbul dalam kesibukan dunia.Dimana Dia dihatiku?

Photobucket






No comments:

Post a Comment

Penulis tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang ditinggalkan pembaca. Semua komen adalah dibawah tanggungjawab anda. Gunalah bahasa yang sopan dan berhemah dalam meninggalkan komen anda. Iklan produk dan perkhidmatan yang tidak dibenarkan adalah dilarang sama sekali. © AKHIL

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...