Showing posts with label Tarbiah. Show all posts
Showing posts with label Tarbiah. Show all posts

May 11, 2015

Cakap Tidak Serupa Bikin


Apa demo (kamu) akan buat bila berdepan dengan malaun-malaun seperti ini? Atau demo sendiri yang malaun yang cakap tidak seperti bikin.

Hari ini cakap lain. Esok pusing 360 darjah cakap lain. 

Satu hal lagi jenis yang bagi ceramah nasihat berjela, walhal dia sendiri pun tak buat. Gelaran orang muda bajet bagus. Jenis malaun macam ini bagaimana pula demo berunding?

Di sini sekadar berkongsi, lebih kepada peringatan untuk diri sendiri. Ambo kongsi petikan ayat ke 2 dan 3 surah As-Saff. Peringatan untuk kita supaya berpegang pada janji. Dan mengotakan apa yang dikata. Walk the talk!





Sekali baca terpalit atas batang hidung sendiri.

#KataAmbo::KuatLipakkk @ Kaki kencinggg
Photobucket

Nov 4, 2014

7 JENIS PERSAHABATAN HANYA 1 SAMPAI AKHIRAT


Selamat pagi dunia. Selamat pagi makhluk Allah di segenap penjuru alam. Tips untuk ceria sepanjang hari adalah dengan mulakan hari dengan positif. Kawan, teman, member, geng. Macam-macam istilah orang bagi untuk sebuah persahabatan. Tahukah kita yang kawan atau teman boleh dibahagikan kepada 7 jenis. Jadi ambo kongsikan 7 jenis persahabatan yang mana dari 7 hanya 1 yang sampai ke akhirat. 

Persahabatan yang macam mana tu? Dan jatuh dalam jenis yang ke berapakah kita? Ambo kongsikan info berikut yang dipetik dari IG abby_abadi112.

1. TA'ARUFFAN Persahabatan yang terjalin secara kebetulan, seperti pernah bertemu di stesyen kereta api, hotel, hospital, pejabat pos, ATM, dan lainnya.

2. TAARIIKHAN Persahabatan yang terjalin kerana faktor sejarah, misalnya teman sekampung, satu kelas, satu sekolah, satu asrama, dan sebagainya. 

3. AHAMMIYYATAN Persahabatan yang terjalin kerana faktor kepentingan tertentu seperti rakan bisnes, politik dan sebagainya. 

4. FAARIHAN Persahabatan yang terjalin kerana faktor hobi, seperti teman futsal, badminton, memancing, dan sebagainya. 

5. AMALAN Persahabatan yang terjalin kerana kerjaya, misalnya sama-sama guru, doktor, arkitek dan sebagainya. 

6. ADUWWAN Sahabat tetapi musuh, depan kita bukan main dia baik lagi tapi bila belakang kita ... Allah! Pijak semutpun tak mati! Talam dua muka. Seperti firman Allah SWT: "Kalau kamu mendapat kebaikan atau kesenangan, ia menyakitkan hati mereka, bila kamu ditimpa musibah, mereka senang hati ..." (Surah Ali Imran : 120) Rasulullah SAW mengajarkan doa: "Allahumma Ya Allah ... selamatkanlah aku dari sahabat yang bila melihat kebaikanku dia bersembunyi tetapi bila dia melihat keburukanku dia sebarkan." 

7. HUBBAN LIMAANAN Sebuah ikatan persahabatan yang lahir batin, tulus saling cinta dan sayang kerana ALLAH Azza wa jalla, saling menolong, menasihati, menutupi aib sahabatnya, memberi hadiah, bahkan diam-diam di penghujung malam, ia doakan sahabatnya. Boleh jadi ia tidak bertemu tetapi ia cinta sahabatnya kerana Allah Ta'ala. 

Dari 7 macam persahabatan di atas, 1 hingga 6 akan LENYAP di Akhirat. Yang TINGGAL hanya 1 ikatan persahabatan iaitu persahabatan yang ke-7. Persahabatan yang terjalin kerana Allah Taala seperti firman Allah SWT: "Pada hari itu (Kiamat) sahabat-sahabat karib akan menjadi musuh bagi yang lain kecuali persahabatan kerana ketaqwaan" (Surah Az-Zukhruf : 67) Semoga persahabatan kita bertambah erat dan sentiasa diberkati kerana Allah SWT. Aamiin...!!! 


#KataAmbo|Ramai kawan bila masa senang.
 

Photobucket

Oct 29, 2014

Benarkah Aku Sudah Taubat?



Masih melakukan dosa, sedangkan sudah berkali-kali melakukan taubat?

Hakikat orang yang melakukan maksiat ini adalah penat. Mereka kepenatan kerana dibebani dengan bebanan dosa yang banyak. Jiwanya sentiasa resah dan gelisah dek perbuatan dosanya itu. Akhirnya, dia kembali bertaubat dan beristighfar kerana menginginkan kerehatan pada jiwanya. Bukan kerana takutkan azabNya. '

Setelah kembali tenang jiwanya, dia kembali melakukan maksiat sehingga berasa penat dan resah kembali. Lalu, dia kembali kepada taubat dan istighfar bagi menghilangkan kepenatan dan keresahannya itu. Begitulah keadaannya orang yang menjadikan taubat itu sekadar tempat untuk menenangkan jiwanya semata tanpa rasa takut akan azab Allah yang sangat pedih dan berharap supaya taubatnya diterima.

Kesannya, dia akan terus melakukan maksiat sekalipun sudah berkali-kali melakukan taubat. Na'uzubillahiminzalik...

Terasa apa yang diperkatakan di atas datang menerpa ke atas batang hidung sendiri dan menusuk ke jantung hati. Memang kita begitu kan? Jangan tipu diri sendiri untuk jadi lebih baik. Terbuka dan terima saja teguran dan nasihat. Boleh jadi itu teguran secara tidak langsung dari Tuhan Ya Rahman Ya Rahim. 

#KataAmbo | Dipetik dari IG FedtriYahya.
Photobucket

Oct 23, 2014

Allah Telah Aturkan Hidup Aku


Resah dan gelisah. Gundah dan gelana. Silih berganti dari hari ke hari. Apakah belum mencukupi nikmat Allah untuk ambo kecapi? Atau ambo sahaja masih buta hati, tidak melihat begitu banyaknya nikmat yang Tuhan anugerahi.

Diuji dengan cuma sekelumit resah dan permasalahan. Berdepan ragam duniawi dan perangai manusia yang kadang begitu kadang begini; macam-macam peel. Itupun sudah goyah dan hilang akal dari bersyukur akan nikmat Allah yang terus menerus tercurah.

Lupa seketika, bahawasanya garis masa hidup ini sememangnya sudah ditentukan Allah. Dan semuanya dalam genggaman Dia Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang; Ya Rahman Ya Rahim. Diberi kita nikmat untuk diuji sejauh mana disyukuri, dan diberi musibah untuk diuji sejauh mana kita tabah.


#KataAmbo | Hidup yang fleksible.
Photobucket

Sep 26, 2014

Gelandangan Kota New York Berhati Mulia


Anda tonton video dibawah dan anda nilai. Nilai murni yang merentasi sempadan bangsa. Inilah yang agama kita, agama Islam ajar umatnya. Berkongsi susah senang bersama. Tolong menolong kearah kebaikan dan kemaslahatan bersama. Cehh berprotokal ayat ambo pagi-pagi ni. 

Dan satu pujian ambo tujukan kepada mereka yang melontarkan idea sedemikian. Mereka turun membantu golongan gelandangan di bandar New York dengan cara yang agak kreatif. Jadi bukan semua dari negara uncle sam buruk dan negatif. Yang baik jadikan tauladan, yang buruk usir jauh ke belakang jadikan sempadan.

Gelandangan itu bukan Islam, dan dia mempraktikan sesuatu yang cukup positif dan terpuji. Alangkah lebih bermaknanya jika terbuka pintu hatinya untuk memeluk agama Islam. Semoga dengan nilai murni yang dipamerkan itu, Allah akan membuka hatinya untuk mendekati dan memilih Islam sebagai cara hidup dan pegangan beliau.

Tonton video dibawah, moga-moga ia menginspirasikan kita semua untuk melakukan sesuatu yang positif.


#KataAmbo | Salam Jumaat
Photobucket

Sep 19, 2014

Ulama' Fasik Akhir Zaman


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash r.a : Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Allah tidak akan mengambil kembali ilmu (agama) dengan mengambilnya dari (dalam hati) manusia, tetapi mengambilnya kembali dengan kematian para ulama hingga tidak bersisa, lalu orang ramai akan mengambil orang-orang bodoh sebagai pemimpinnya yang apabila orang-orang itu bertanya kepada mereka, mereka akan memberikan jawapan-jawapan yang tidak didasarkan kepada ilmu. Maka mereka akan berada dalam kesesatan dan menyesatkan orang lain.


عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " يَكُونُ فِي آخِرِ الزَّمَانِ عُبَّادٌ جُهَّالٌ ، وَعُلَمَاءُ فُسَّاقٌ " . ابن حبان
Maksudnya, daripada Anas r.a dia berkata, Sabda Rasulullah: “Akan berlaku pada akhir zaman ahli ibadah yang )ahil dan ahli ilmu yang fasik.”(Riwayat ibnu Hibban)

Ciri-ciri Ulama Fasik 

Secara umumnya ulama ini akan selalu menyanggah pandangan dengan apa yang dibawa oleh ulama amilin, apatah lagi suara mereka disokong oleh golongan ramai. Walaupun secara zahirnya, kita tidak dapat membezakan antara dua golongan ulama ini di sudut pakaian dan percakapan, namun kita dapat menilai mereka melalui tindakan dan kesan daripada tindakannya.

Antara ciri-ciri ulama fasik ialah:
  • Takut untuk menyampaikan kebenaran
  • Menyembunyikan ajaran sebenar
  • Perjuangan kerana dunia yang ditawarkan
  • Cakap berbolak balik dalam sesuatu isu atau tidak berani berterus terang
  • Hasad dengki dengan yang lain 
  • Bercakap agama atas kepentingan orang lain
sumber: Detik Islam


#KataAmbo | Salam Jumaat
Photobucket

Sep 18, 2014

10 Tanda Orang Berakal Zahir dan Tersembunyi


Tanda orang berakal ada sepuluh. Terdapat lima(5) yang kita boleh lihat dan lima(5) lagi yang kita tak boleh lihat.

Adapun tanda yang boleh dilihat :
  1. Tak banyak cakap.
  2. Menahan sabar ketika waktu yang tak boleh bersabar.
  3. Tawadhuk.
  4. Sentiasa ingat nak buat kebajikan.
  5. Sentiasa buat kebajikan.

Lima yang tak boleh dilihat :
  1. Banyak berfikir
  2. Tindakannya sentiasa memberi pengajaran.
  3. Melihat dosa sesuatu yang paling besar dalam hidupnya.
  4. Sentiasa takut pada Allah.
  5. Boleh mengawal hawa nafsunya dari melakukan maksiat.
Dalam 5 ciri-ciri yang boleh dilihat diatas, agak-agak ada tak yang kena dengan karakter kita hari ini. Bukan niat untuk berkhutbah mahupun jadi ustaz segera, tetapi perkongsian ambo kali ini lebih untuk mengingatkan diri sendiri. Sambil taip sambil muhasabah. Biar malu sikit pada diri sendiri, jika hanya tahu 'share' tapi diri sendiri tak praktik.

Kredit kepada ZonKuliah

#KataAmbo|Ada akal malas fikir, ada kudrat malas berusaha.

Photobucket

Sep 5, 2014

Mimpi Kembalikan Individu Murtad Kepada Islam


Salam,,

Alhamdulillah, bumi Shah Alam yang panas beberapa minggu sebelum ini kembali sejuk. Hujan di awal pagi hari Jumaat umpama rahmat dari-Nya. Kesempatan hari Jumaat yang sejuk dan nyaman ini ambo ingin kongsikan video yang ambo jumpa di laman sosial facebook mengenai gambaran yang didakwa sebagai mimpi seorang penganut Kristian.

Berdasarkan penceritaan dalam video tersebut, individu tersebut asalnya seorang muslim tetapi akibat dipengaruhi persekitaran di Barat, dia menukar agama kepada Kristian. Pada suatu hari, bermimpi didatangi seorang individu yang datang membawa kertas dan melakukan demonstrasi mengenai kebenaran agama Islam.

Kertas tersebut dilipat-lipat kepada 5 bahagian berdasarkan bilangan rukun Islam. Tontonlah video dibawah untuk mendapat gambaran lebih jelas. 


Pelbagai cara sebenarnya, bagi Allah untuk memberikan hidayah kepada hambanya-Nya.

#KataAmbo::sejuk sampai selesema.
Photobucket

Tingkatkan Produktiviti Seawal Pagi


Pepatah Inggeris berbunyi, "Early Bird Get Worm" kalau diterjemah secara terus bermaksud, burung yang keluar pagi atau awal akan mendapat cacing. Bila dikaitkan dengan manusia, orang yang memulakan kehidupan seharian seawal pagi akan dapat dimurahkan rezeki.

Ambo ada terbaca dalam satu artikel di laman Business Insider, yang berkongsikan pengalaman Felipe Castro Matos, seorang lelaki dari Portugal yang cuba mempraktikkan bangun seawal 4.30 am selama 21 hari demi meningkatkan tahap produktiviti beliau. Dan ternyata, hasil dari usaha yang dilakukan oleh lelaki tersebut membuahkan hasil.

Pelbagai perkara baru yang menakjubkan dapat dilaluinya yang mana tidak dapat di rasai sebelumnya. Dan kehidupan sehariannya lebih berkualiti. Dengan tidur yang cukup selama 6-7 jam sehari, bergantung kepada keupayaan badan, lelaki terbabit tidur seawal 10 pm untuk dapat terjaga seawal 4.30 am dalam tempoh menjayakan cabaran #21earlydays demi meningkatkan produktiviti kerja dan hidup beliau.

Satu perkara yang diperkatakan oleh Matos yang menarik untuk di highlight ialah, "Saya lebih memilih untuk keluar dan melakukan perkara yang menarik di alam nyata berbanding bersenang lenang diatas katil tidur. Kerana bila saya mati, saya punya banyak masa untuk tidur."  Terinspirasi dari pengalaman yang dilalui oleh lelaki tersebut, ambo ingin mencuba. Lagi pun bangun diawal pagi murah rezeki. Dan itulah yang selalu dibebelkan oleh bonda dan ayahanda ambo. Petikan hadis diriwayatkan Ath Thabrani,
"Bangunlah pagi hari utk mencari rezeki dan keperluanmu. Sesungguhnya pada pagi hari terdapat barakah dan keberuntungan." (HR Ath-Thabrani)
  


#KataAmbo | Bau rumput segar pagi-pagi hari.

Photobucket

Sep 4, 2014

Mengundang Rezeki Yang Tidak Disangka


Orang Melayu menggelarkan ayat diatas sebagai ayat 1000 dinar. Sebenarnya ia ayat 2 dan 3 dari surah at-Talaq. Ada yang gantung di dinding sebagai ayat pelaris katanya. Tak panjang pun ayat ini, cuma dua ayat saja. Tapi begitu mendalam maksud atau terjemahannya jika difahami dan dihayati. Ambo bukan ustaz untuk menjelaskan terperinci apa disebalik ayat itu. Cuma berkongsikan apa yang disampaikan oleh orang agamawan. 

Zaman sekarang, ramai yang merungut gaji tak pernah cukup. Sampaikan ada yang kerja part time meskipun sudah menjawat jawatan tetap. Keluar rumah sebelum ayam berkokok dan pulang ke rumah bila embun mula turun. Kerana apa? Duit tak cukup. Sebab utamanya, kos sara hidup yang tinggi. Dan itulah masalah yang di alami kebanyakan orang.

Ada ketika lain pula, kita ditemukan dengan masalah yang tak diundang, dan sepertinya mustahil menemukan jalan keluar. Jadi ke mana harus kita adu akan semua masalah, kesempitan dan kesukaran seperti itu.? 

Jawapannya ada dalam ayat 1000 dinar diatas. Terperinci Tuhan sampaikan menerusi kalam suciNya. Maka bertakwalah kepada Allah, nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar dari perkara yang menyusahkan serta dikurniakan rezeki dari sumber yang tiada disangka.

Ada waktu itu iman kita menaik, ada waktu iman kita menurun. Macam roller coaster. Kenapa begitu? Kerana kita bukan nabi yang bersifat maksum, kita juga bukan malaikat yang bebas dari dosa. Kita manusia. Agak-agak kalau terasa dada sempit, kepala buntu memikirkan permasalahan hidup. Maka itu boleh jadi tanda iman tandus. Itu juga tanda Tuhan mengetuk hati untuk kembali kepadaNya. Bahasa mudahnya itulah "hidayah dari Tuhan". Seru sudah sampai. Hati rindu untuk menghadap Tuhan. Maka cuba kita cari jalan pulang. Ambil masa untuk berkhalwat (bersendirian) dengan Tuhan. 

Ayat seribu dinar! Daripada sekadar menggantung di dinding, tak salah kiranya kita gantung akan ia di benak hati. Gantung di dinding mudah hilang dari pandangan. Tapi gantung di hati akan di bawa ke mana saja kita pergi.


#KataAmbo| Kemana kita nak tuju seterusnya?

Photobucket

Jan 14, 2014

Sejauh Mana Cintaku Pada Rasulullah s.a.w ?

Salam,,

Rakan pembaca blog ambo sekalian. Pagi ini sambutan maulidur Rasul 12 Rabiul Awal 1435 H bersamaaan 14 Januari 2014. Terdapat banyak polemik tentang sambutan maulud nabi ni. Ada yang kata bidaah dan ada yang kata tak salah kalau nak sambut.

Bukan isu itu yang hendak ambo coretkan disini. Ilmu ambo pun cuma sekelumit saja. Nanti terserlah kejahilan jika memperkatakan tentang isu tersebut.

Bagi ambo yang jahil lagi penuh khilaf ni, sekurang-kurangnya ia mengingatkan kita kepada pengorbanan dan kasih sayang junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w kepada Islam dan Umatnya. Orang akan persoal.."Eleh setahun sekali je ingat nabi?"..Tapi itu lagi baik dari tak ingat langsung.

Kesempatan hari baik ini ambo nak kongsikan satu artikel yang ambo petik dari laman facebook. Artikel tentang betapa kasihnya Rasulullah s.a.w kepada kita sebagai ummatnya. Tak pernah ketemu pun tapi kasih sayang telah dizahirkan oleh nabi sejak dahulu lagi.

lafaz selawat nabi


**************************************************************************

Bismillahirrahmaanirrahiim. " Betapa cintanya Rasulullah kepada kita .....

Pernahkah kita menangis untuk Rasulullah s.a.w? Sedangkan di akhir hayat baginda menangis kerana kita. Renungkanlah..... !!!!
Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap, Rasulullah s.a.w. dengan suara terbatas memberikan kutbah.

"Wahai umatku, kita semua berada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al-Quran dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku."

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

"Rasulullah akan meninggalkan kita semua," keluh hati semua sahabat kala itu.

Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.

Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya.

Tetapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk. "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?"

"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut," kata Rasulullah,

Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggil Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.

"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega,matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.

"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"

"Jangan risau, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: "Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan-lahan ruh Rasulullah ditarik. Seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

"Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengadu. Fatimah terpejam. Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.

"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.

"Ya Allah, dahsyat sungguh maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu. Ali segera mendekatkan telinganya.

"Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku (peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.)"

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii, ummatii, ummatiii.. (Umatku, umatku, umatku).."

Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu.

Kini, mampukah kita mencintai seperti Baginda mencintai kita? Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.

Sahabat-sahabat muslim sekalian, marilah kita renungkan kembali pengorbanan Rasulullah kepada umatnya, betapanya cintanya Rasulullah kepada umatnya agar timbul kesedaran untuk mencintai Allah dan Rasul-Nya, seperti Allah dan Rasulnya mencintai kita. Kerana sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka.

Pernahkah kita menangis untuk Rasulullah s.a.w? Sedangkan di akhir hayat baginda menangis kerana kita. Renungkanlah...

sumber: Laman FB Majelis Darul Ta'lim Darusshofa.

#KataAmbo::Isu Kangkung lagi trending dari Maulud Nabi 
Photobucket

Jan 12, 2014

Pesan Ibu Tentang Ayah

Salam..

Ada serangkai kata-kata ( boleh dikategorikan sebagai puisi) yang ambo temui yang menarik untuk dikongsi bersama. Mohon yang sempat singgah di blog ambo yang masih bersawang ini mendapat manfaatnya.


Anakku
Memang ayah tak mengandungkanmu
Tapi,
Darahnya mengalir didarahmu
darinya kau diwarisi namanya..
kedermawan dan kerendahan hati..

Memang ayah tak melahirkanmu
Tapi,
Suaranyalah yang pertama mengantarkanmu pada Allah
Ketika kau lahir

Memang ayah tak menyusuimu.
Tapi,
Dari keringatnya lah setiap suapan
yang menjadi air susumu

Ayah memang tak menjagaimu
setiap saat..
Tapi,
Tahukah kau dalam doanya tak
pernah terlupa namamu disebutnya.

Tangisan ayah mungkin tak pernah
kau dengar..
Kerana,
Dia ingin terlihat kuat agar kau tak ragu
Untuk berlindung di lengannya
dan dadanya ketika merasa tidak aman

Pelukan ayahmu mungkin tak
sehangat dan seerat ibu..
Kerana,
Cintanya dia takut tak sanggup melepaskanmu

Ayahmu ingin kau kuatkan semangat
Agar ketika kami tiada
Kau sanggup menghadapi semua
sendiri

Ibu hanya ingin kau tahu..
Bahawa,
Cinta ayah kepadamu sama
besarnya seperti cinta ibu

Anakku dari dirinya juga terdapat
surga bagimu
Maka,
Hormati dan sayangi ayahmu...
Kerana,
Ibu adalah tulang rusuknya.

Jauh dilubuk hatinya dia hanya
Ingin mampu membanggakan mu
Di hadapan Allah, menjadi penolong di Padang Mahsyar
Serta menjadi hijab dari api neraka.

Berbahagialah bagi yang masih punya Ibu & Ayah.


#KataAmbo::Tenang jiwa habis exam.
Photobucket

Nov 14, 2013

Tarbiah Langsung Dari Tuhan



Ambo percaya semua orang pasti merasakan jatuh bangun dalam kehidupan. Hari ini mungkin diatas dan akan ada masanya pusingan roda kehidupan membawa kita ke bawah. Tak dapat lari. Tuhan itu Maha Adil.

Bagi kita semua rasa susah dan senang. Bila mana rasa senang Tuhan nak uji sejauh mana kita bersyukur kepadanya, dan bila susah ataupun gagal Tuhan nak uji sejauh mana kita bersabar. Mungkin itu tarbiah 'halus' dari Ilahi.

#KataAmbo::Tak jumpa U-turn lagi.
Photobucket

Jul 7, 2013

Ramadhan Kali Ini

salam,,

Saat dan ketika ambo menukilkan entri ini, kalendar Islam telah pun memasuki hari 29 Sha'ban 1434H. Maknanya lagi satu hari menuju bulan penuh keberkatan iaitu Ramadhan. Jadi satu lagi peluang untuk kita Umat Islam bagi mensucikan hati dan jiwa dari kekotoran dosa dalam tempoh sebulan ibadah puasa ini, setelah setahun bergelumang dengan bermacam debu-debu kekhilafan. Bersediakan kita semua?

Bulan Ramadhan bukan sebarangan bulan. Setiap amalannya akan digandakan. Itulah kelebihan kita sebagai Umat Nabi Muhammad, umat akhir zaman. Mungkin usia kalangan kita umat akhir zaman ini tidak lama, paling tidak lebih kurang 60-70 tahun secara purata. Jadi amalan di bulan Ramadhan inilah Allah s.w.t akan mengganda-gandakan amalan kita. Itu berdasarkan apa yang ambo dengar menerusi ceramah-ceramah agama laa..


Rasanya sudah tiba masanya untuk kita semua umat Islam melakukan persediaan, bagi menyambut ketibaan bulan penuh rahmat ini. Rugi andai kata Ramadhan kali ini berlalu begitu saja, macam tahun-tahun yang sudah.

Andai kata ada kekhilafan, salah dan silap sepanjang ambo menulis di dunia bawah tempurung ini, mohon maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki. Mungkin ada ucapan salam tak bersahut, tulisan yang menyentap hati mana-mana pihak, mohon maaf dan ampun dipinta.

#KataAmbo::Puasa berjauhan dari keluarga..
Photobucket

Jun 15, 2013

Dua Kalimah Yang Berat Timbangan Di Akhirat

Salam,,

Kesempatan masih diberi peluang hidup di bumi Tuhan ini, ambo ingin kongsikan suatu yang bermakna untuk pembaca yang berkesempatan singgah di dunia bawah tempurung. Info tersebut hasil perkongsian seorang teman di laman mukabuku tidak berapa lama dulu.


Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:
“Dua kalimah yang ringan di lidah,berat di atas neraca timbangan dan disukai oleh Tuhan Yang Maha Pengasih ialah: SubhanAllahi wa bihamdih, SubhanAllahil-`Azim“
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

Maknanya:
1.SubhanAllahi wa bihamdih = Maha Suci ALLAH dan Segala Pujian BagiNYA
2.SubhanAllahil-`Azim = Maha Suci ALLAH Yang Maha Agung

Muslimin muslimat sekalian,
Ambillah peluang setiap masa yang terluang untuk kita mengingati ALLAH. Di dalam hadith di atas, Nabi S.A.W. telah menyatakan akan kelebihan kalimah zikir ‘SubhanAllahi wa bihamdih, SubhanAllahil-`Azim’ yang tidak sepatutnya kita abaikan.

Kalimah ini sangat mudah untuk disebut, tetapi subhanALLAH ganjaran pahalanya besar, malah disukai oleh ALLAH Ar-Rahman. Justeru, janganlah kita membiarkan masa yang berlalu tanpa kita mengamalkannya. Samada sedang berjalan, sedang menunggu, sedang berehat, sedang memandu atau mana-mana ketika pun, janganlah kita biarkan masa berlalu pergi tanpa diisi dengan dzikrullah. Apatah lagi seperti kalimah zikir di atas. Mudah, tapi besar ganjarannya.

Semoga kita semua termasuk ambo sekali dapat mengamalkannya, insyaALLAH.

Ambo pun kekadang sering lalai dan lupa untuk melazimkan lidah dengan berzikir. Harapnya dapatlah kiranya antara kita semua dapat saling ingat-mengingati.

#KataAmbo::Mengikhlaskan diri

Photobucket

May 3, 2013

Kenapa Orang Bukan Islam Masih Tak Faham Islam - Dr Asri

Salam,,

Sekali menipu pasti akan ada siri penipuan yang akan dilakukan. Itulah penipuan. Tanpa kita sedari ia boleh menjadi satu ketagihan ataupun lebih tepat lagi tabiat. Mengikuti siri ceramah oleh Dr Mohd Asri Zainal Abidin ini ada menariknya.

Hujah bekas mufti Perlis ini, mungkin akan dianggap memihak kepada sesetengah pihak, namun sebenarnya ia untuk pedoman semua pihak. Kita mungkin boleh menipu separuh manusia dalam separuh masa, tapi kita tidak boleh menipu semua manusia dalam sepanjang masa.




Sudah 50 tahun Malaysia merdeka, adakah cukup sekadar gah dengan kemajuan infrastruktur yang tinggi melangit? Semua itu hanya sedap mata memandang dan itu bukan penanda aras yang tepat untuk menilai tahap kemerdekaan negara kita.

Mungkin sudah tiba masanya, pemimpin-pemimpin untuk bersama-sama rakyat Malaysia ke arah suatu dimensi baru sebagai menepati status sebuah negara yang agama rasminya adalah Islam

#KataAmbo::Mencari definisi sebenar merdeka.
Photobucket

Jun 26, 2012

Syukur vs Sabar

Salam,,
Ambo cuba mula pagi selasa ini dengan maksud Surah Ibrahim ayat 7

"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah ni'mat kepada kamu dan jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah pedih. (Ibrahim: 7)

Susah untuk bersabar, susah lagi untuk bersyukur!!

Tengah cuba untuk lajukan tempo study tiba-tiba.Pulpp!!tetiba mood ambo nak study terpadam. Mati dan terus kaku..

Ambo dah agak dah sindrom malas kembali.Bertandang bersama-sama dengan kepala berserabut...
Tension lagi!!

Jika di flash kembali garis masa sejak semester pertama ambo di UiTM shah alam ni tak pernah lagi ambo dapat melalui hari-hari ambo dengan tenang...

Dekat-dekat final lagilah..terasa bangang tahap abadi..uihh!!

Terlalu banyak menggendong dosa barangkali...(sedar diri pun)

Insyaallah dihitung kira pakai formula mudah....ada lagi 2 tahun ambo dengan status pelajar U.



Entah hujan, ribut, kemarau atau apa untuk tahun- tahun mendatang..Ok lah itu bukan kerja ambo untuk terlalu memikirkan apa plot cerita di hari esok..

Itu urusan Allah s.w.t!! Dia Maha Mengetahui yang terbaik untuk ambo!!

Jika kejayaan itu elok untuk ambo, alhamdulillah syukur ambo panjatkan dan minta supaya tidak lupa diri,,
Jika gagal itu elok untuk ambo, berilah ambo kesabaran dan tetapkan iman agar ambo redho dan tetap dalam bersyukur..


Photobucket
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...